"Dan hendaklah kamu tolong menolong di atas perkara kebaikan dan taqwa dan janganlah kamu tolong menolong di atas perkara dosa dan permusuhan”
(Surah Al-Maaidah, ayat 2)
"Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka menjadi penolong sebahagian yang lain ”
(Surah At-Taubah, ayat 71)
"Sesungguhnya seseorang yang beriman ialah sesiapa yang memberi keamanan (keselamatan dan perlindungan) terhadap harta dan jiwa raga manusia”
(Riwayat Ibnu Majah)
Takaful yang bermaksud saling menjamin, berasal dari perkataan Arab - kafala. Konsep takaful bertujuan mengalakkan tolong menolong dan perpaduan di kalangan para peserta selari dengan konsep ta'awun. Dalam Islam, menolong atau menyediakan bantuan amatlah digalakkan.
Dalam perniagaan takaful,pemahaman dari maksud ini merupakan satu agenda penting. Ia diterapkan kepada semua peserta yang mengambil perlindungan takaful untuk berniat ikhlas bagi saling jamin-menjamin di kalangan mereka ketika ditimpa musibah. Secara amnya, objektif dalam industri takaful merupakan instrumen untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik kerana ditimpa musibah.
Objektif insurans dapatlah diungkapkan sebagai golongan ramai yang bernasib baik membantu golongan yang tidak bernasib baik. Sememangnya objektif tersebut adalah diiktiraf oleh Islam dan secara terangnya turut menyatakan galakan oleh Allah kepada manusia untuk mengamalkan sikap tolong-menolong.
Asas Takaful
- Jaminan Bersama
- Penyertaan di dalam skim yang dipersetujui bersama
- Membantu satu sama lain menggunakan tabung yang ditakrifkan (tabarru') untuk membayar kerugian yang ditakrifkan.
Prinsip Takaful
- Tanggungjawab bersama
- Membantu dan bekerjasama
- Perlindungan bersama
Kupasan Mengenai Konsep Takaful
(Sila layari maklumat lengkap di http://www.islam.gov.my/muamalat/sites/default/files/jurnal_muamalat/2011/02/1_.pdf)
Takaful mempunyai matlamat yang sama dengan insurans konvensional iaitu menyediakan khidmat untuk para pemegang polisi atau para peserta. Apa yang membezakan antara keduanya ialah konsep yang digunakan bagi mencapai tujuan tersebut. Dalam hal ini, takaful menggunakan konsep kerjasama yang dibenarkan oleh syarak berasaskan kontrak tabarru’ dan ta’awun sebagaimana dinyatakan di atas.
Konsep ini bebas daripada sebarang elemen yang bercanggah dengan hukum muamalat Islam seperti gharar, riba, perjudian dan elemen lain. Dana takaful yang dibentuk daripada sumbangan para peserta (pemegang polisi) berasaskan kontrak tabarru’ akan digunakan bagi menyelamatkan setiap peserta takaful daripada kecelakaan atau musibah yang menimpa. Sebarang lebihan yang berbaki selepas pembayaran pampasan, perbelanjaan, dan pemotongan untuk rizab akan dipulangkan kepada para peserta menurut kadar sumbangan masing-masing.
Konsep takaful ini sememangnya merupakan suatu konsep yang diiktiraf oleh Islam. Bahkan praktisnya pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan bahawa qabilah Asy’ariyyin apabila mengalami kehabisan bekalan makanan dalam peperangan atau apabila mereka kekurangan bekalan ketika di Madinah, mereka mengumpulkan semua bekalan yang tinggal dalam satu kain, kemudian membahagikannya sama rata sesama mereka. Rasulullah berkata: “Mereka ialah rakan aku dan aku ialah rakan mereka”.
Peristiwa ini boleh dijadikan sandaran untuk menyokong penubuhan tabung atau dana takaful bersasaskan konsep tabarru’ dan kerjasama (ta’awun) di antara para peserta. Penubuhan tabung tersebut tidak harus bermatlamatkan keuntungan semata-mata tetapi hendaklah berasaskan konsep tabarru’ untuk tujuan tolong-menolong sebagaimana difahami secara jelas daripada hadis tersebut.
Terbaik
ReplyDelete